Keajaiban Anak Muda

Assalamualaikum wbt dan salam nisa kepada semua.

Alhamdulillah, hari ni kita masih diberi kesempatan untuk menikmati nikmat iman dan Islam. Syukur padanya masih mampu bernafas dan bersama-sama dengan keluarga dan sahabat tercinta

PENDAHULUAN
Hari ni nak berkongsi sikit pasal anak muda. Anak muda ni konteksnya luas. Namun, yang ingin ditegaskan disini adalah peranan anak muda dalam membantu perjuangan Islam.

Sejak zaman Rasulullah SAW lagi kewibawaan anak muda sama ada muslimin atau muslimat, tidak boleh dipertikaikan lagi. Kenapa hal ini terjadi?

ASET TERPENTING
Lelaki dan perempuan tidak ada bezanya di sisi Allah SWT. Seorang ulama tersohor di negara ini, pernah menyatakan bahawa tidak akan ada keistimewaan yang Allah berikan untuk lelaki mendahului wanita ketika melalui siratulmustaqim di akhirat kelak. Maknanya, yang membezakan kita semua adalah ketaqwaan.

Cuba sebutkan beberapa tokoh anak muda yang sahabat ketahui? Sultan Muhd Al Fateh, Saad Abi Waqas, Fatimah Az Zahra, Saidatina Aisyah, Solahuddin Al Ayubbi, Saidina Ali bin Abi Talib dan ramai lagi. Sangat mengujakan bila martabat anak muda diangkat dalam perjuangan Islam sehingga ke hari ini.

Ketajaman akal fikiran, tenaga yang kuat, responsif, cepat dan 'fresh' dengan idea baru adalah antara ciri-ciri anak muda yang menjadi aset terpenting. Penglibatan anak muda dalam pelaksanaan dakwah tidak hanya terjadi ketika zaman Rasulullah, bahkan ia tetap berterusan sehingga sekarang.

Penaklukan Contantinople oleh Sultan Muhd Al Fateh adalah satu bukti yang kukuh bahawa penglibatan anak muda amat penting dan tidak dipandang enteng. Berfikiran kreatif dan memiliki ilmu yang tinggi sehingga boleh bertutur dalam 6 bahasa utama, ia merupakan kelebihan yang dimiliki oleh sultan muda ini. Hasilnya, ketika mencecah umur awal 20-an, Al Fateh telah berjaya menawan kota Constantinople yang telah lama diidamkan ditakluki oleh umat Islam.

Asma Abu Bakar misalnya, adalah susuk tubuh yang sangat membantu dalam perjalanan hijrah Rasulullah SAW. Begitu juga dengan keberanian dan kekentalan jiwa Ali Bin Abi Talib yang sanggup untuk menyamar menjadi Rasulullah, menggantikan baginda di pembaringan untuk mengelirukan golongan kafir Quraisy dan untuk memudahkan pergerakan Rasulullah. Bayangkan betapa hebatnya golongan muda ketika ini. Formula mudah yang digunakan Rasulullah untuk menghasilkan output seperti ini adalah dengan didikan corakan Al Quran nur Kareem.

Keberanian golongan anak muda dalam penglibatan mengikuti peperangan yang turut disertai oleh Rasulullah juga wajar dicontohi. Semangat yang berkobar-kobar untuk mencapai syahid menyala di dalam jiwa sanubari mereka. Saad abi Waqas, Zaid bin Harithah dan pejuang lain merupakan tokoh-tokoh utama yang membantu kejayaan Islam zaman dulu.

PEMUDA MASA KINI
Namun fenomena yang amat menyedihkan apabila anak muda pada masa ini tidak lagi mempedulikan kehebatan sejarah ini, sebaliknya sibuk melayani nafsu yang berpaksikan kepada arus barat. Hedonisme, merupakan gejala yang sangat mempengaruhi remaja masa kini. Semuanya mahu menjadi bintang, mahu menjadi popular dan mengejar populariti. Inikah yang sepatutnya terjadi pada seorang remaja Islam? Tidak kena gaya, silap-silap agama pula tergadai bila budaya kuning seperti gothik, black metal dan sebagainya mula menghantui segelintir remaja kini. Amat memalukan bila anak-anak gadis turut dirosakkan oleh dakyah-dakyah seperti ini. Laman sosial yang seakan-akan tidak ada penamatnya pula menjadi kemuncak kepada permasalahan sosial yang berlaku. Pendedahan aurat di internet bukan lagi menjadi masalah besar kerana semua orang sudah 'menghalalkan' perkara tersebut di ruang maya tanpa sempadan itu

KESIMPULAN
Sedarlah wahai anak muda, kita semua adalah aset kepada agama yang kita cintai. Jika kita tidak mampu menjadi sehebat golongan muda zaman Rasulullah, cukuplah sekadar menjadi duta kepada agama Islam yang kita cintai ini. Jangan sekali-kali mudah terpedaya dengan segala isi dunia ini kerana Allah mengingatkan dalam Quran bahawa isi dunia ini hanya perhiasan sahaja. Mantapkan iman, jadilah seorang mukminah yang mengikut acuan Islam

Akhir kalam, moga peringatan ini ada manfaatnya untuk semua. Insya Allah

Berkapel & Displin Dalam Bertunang

Dipetik dari: Nukilan UZAR
Soalan
Saya telah berkenalan dengan seorang pemuda yang alim dan warak orangnya. Dia banyak memberi nasihat dan panduan agama kepada saya. Sejak berkenalan dengannya, saya telah banyak berubah. Saya mengikuti nasihatnya agar menutup aurat dengan sempurna dan tidak meninggalkan solat lima waktu. Saya dapat rasakan ada perasaan indah yang timbul dalam hati sanubari saya terhadapnya. Saya selalu berangan-angan agar dapat bersamanya sebagai suami isteri suatu hari nanti. Ustaz, apakah yang saya lakukan ini dalam keredaan Allah? Tidakkah saya berubah kerana pemuda tersebut, bukan sepenuhnya kerana Allah SWT? Bagaimana untuk memastikan agar saya sentiasa berada di landasan yang betul?
Terima kasih atas kesudian ustaz menjawab persoalan ini
Jawapan
Tahniah, kerana bertemu dengan pemuda yang alim dan warak. Dalam hal yang melibatkan hubungan lelaki dan wanita, Islam cukup teliti dan sering dituduh sebagai ‘konservatif' dari kacamata barat. Hakikatnya, Allah maha bijaksana dan amat mengetahui baik dan buruk untuk manusia di dunia dan akhirat.
Justeru, jika dilihat dari apa yang telah meresapi hati saudari, bolehlah di katakan saudari sudah ‘jatuh hati' kepada si pemuda tadi serta memasang niat baik untuk mempersuamikannya. Sebagai manusia biasa, ia sememangnya satu niat dan perasan yang sukar di tolak. Bagaimanapun, saudari perlulah mengawal semua batasan perhubungan dengan pemuda tadi bagi mendapat keredhaan Allah. Tindakan berikut perlulah saudari lakukan :-
1) Meluahkan hasrat secara berselindung tetapi boleh di fahami kepada pemuda tadi untuk membina "rumahtangga" bersama. Ia berdasarkan tindakan Khadijah yang menggunakan orang tengah, dan juga seorang wanita lain yang tanpa segan silu menyatakan hasratnya kepada baginda SAW. Imam Al-Bukhari di dalam sohihnya meletakkan satu bab bertajuk " Wanita mendedahkan / menawarkan dirinya kepada lelaki Soleh" (Rujuk Kitab Nikah); juga terdapat satu riwayat bahawa Anas r.a berkata di sisi anak perempuannya :
Ertinya : "telah datang seorang wanita kepada Rasulullah SAW lalu menawarkan dirinya (untuk menjadi isteri baginda) ; berkatalah wanita itu : " Adakah dikau punyai hajat kepadaku? " ; maka anak perempuan Anas menyampuk : " Alangkah kurangnya malu si wanita itu dan amat malunya perbuatannya " ; maka Anas menjawab : " Dia lebih baik darimu, ia berkehendakkan Nabi SAW lalu menawarkan dirinya kepada baginda SAW" ( Sohih Al-Bukhari, 7/17 ).
Imam Ibn Hajar menegaskan tiada catatnya wanita menawarkan dirinya untuk menjadi isteri kepada seorang lelaki ( Fath al-Bari, 9/175 ).
Justeru, jangan terlalu terpengaruh kononnya orang wanita tidak boleh melamar si pemuda yang baik lagi warak. Teruskan hasrat dan jangan bertangguh dalam melakukan hal yang baik. Malah Khawlah bt Hakim adalah dari kalangan wanita yang menawarkan dirinya kepada Nabi SAW ( Sohih al-Bukhari, 7/15)
2) Saudari diizinkan untuk menjemput pemuda itu ke rumah saudari bagi memperkenalkannya kepada kedua Ibu bapa saudari. Syaratnya, mestilah dengan kewujudan ibu bapa atau ‘wali' lain di dalam majlis itu. Saudari dibenarkan untuk berada bersama di ruang tamu (dengan menutup aurat lengkap) dan tidak perlulah bersembunyi di dalam bilik. Ia berdasarkan hadith-hadith yang mengizinkan lelaki dan wanita yang berniat untuk kahwin, bagi mengenali dengan lebih dekat bakal pasangan masing-masing.
Antaranya dalilnya : "telah datang kepada Nabi SAW seorang lelaki lalu menceritakan bahawa ia ingin memperisterikan seorang wanita Ansar, maka Nabi bersabda : "Adakah kamu telah melihatnya? : "Belum jawabnya" ; Nabi menjawab :
Ertinya : "Pergilah kamu melihatnya kerana di mata wanita Ansar ada sesuatu (tanda)" ( Riwayat Muslim).
Juga pesan Nabi kepada Mughirah bin Syu'bah selepas mengetahui ia ingin meminang seorang wanita : " Pergilah melihatnya, sesungguhnya ia lebih menjamin berkekalannya - bagi menilai kesesuaian- (perkahwinan) kamu berdua" ( Riwayat Ahmad, At-Tirmidzi, Ibn Hibban ; Hasan menurut At-Tirmidzi no 1087, cet Maktabah al-Ma'arif ; Sohih menurut Albani ).
Perlu diingat bahawa melihat bukan hanya dengan mata, tetapi ia juga membawa maksud suatu meninjau sikap, budi bahasa, cara hidup dan apa-apa info yang dapat menambahkan ketepatan pemilihan pasangan (kecuali yang HARAM dibuat dan dilihat). (Fiqh as-sunnah, Sayyid Sabiq, 2/23 dengan tambahan, Nizom al-Usrah, Dr Muhd ‘Uqlah, 1/206)
3) Jangan bertangguh atau berhubung tanpa ikatan sah terlampau lama, ( Nizom al-Usrah, 1/216) kerana ia amat mudah membawa keapda yang haram. Perihal berangan-angan saudari tadi juga bukanlah sesuatu yang baik untuk diteruskan. Nabi SAW menyatakan :
Ertinya : " Tidak dilihat (penyelesaian) bagi dua orang yang cinta-mencintai kecuali NIKAH " ( Riwayat Ibn Majah, al-Hakim, sohih menurut al-Hakim, As-Suyuti , Al-Jami' As-Soghir, no 7361, 4/397 cet Jahabersa).
Syeikh Al-Munawi menegaskan ubat yang terbaik bagi pasangan yang sedang asyik bercinta dan kasih adalah Nikah ( Faidhul Qadir, 5/294)
4) Jangan menghebahkan kepada awam sekali mana belum di ijab kabulkan, kerana ikatan ‘janji untuk berkahwin' boleh membawa fitnah dengan mudah. Ia juga boleh terungkai dengan beberapa cabaran semasa pertunangan. ( Nizom al-Usrah Fil Islam, 1/214)
5) Jangan bertemu berdua-duaan di luar, sama ada di tempat terbuka atau tertutup, kecuali diiringi mahram lelaki yang telah dewasa dan mampu menilai baik buruk menurut Islam. Saya nyatakan begini kerana ramai juga mahram lelaki yang ‘merapu' dan tidak langsung punyai ilmu tentang batas hubungan lelaki wanita menurut Islam. Kehadiran orang seperti ini, akan membiarkan maksiat berlaku di antara dua insan tadi, oleh itu individu sepertinya tidak mencukupi syarat yang ditetapkan Islam.
6) Mengurangkan komunikasi yang tidak berkenaan, serta mengawal isi kandungan perbincangan dari yang membawa syahwat. Mengetahui hati budi bakal pasangan menggunakan alatan media elektronik seperti email, surat dan sms lebih baik dari bercakap dalam banyak keadaan (kerana mendengar suara mudah menaikkan syahwat). Bagaimanapun, saya tidak menafikan email, surat dan sms juga boleh menaikkan syahwat, tetapi saya kira secara ‘verbal' lebih mudah.
7) Kerana perbicaraan adalah panjang dan dalil amat banyak, ringkasan perkara perlu ( semuanya menurut dalil al-Quran & Al-hadith) dijaga seperti berikut :-
Haram bersentuh, menyentuh satu sama lain.
Haram ber"dating" dan berkapel tanpa disertai mahram yang thiqah.
Haram berbicara dan bersembang dengan syahwat sama ada sms, phone, chat, mesengger.
Awas fitnah masyarakat sekeliling.
Awas fitnah dalam diri anda dan pasangan.
Haram melihat kepada aurat masing-masing.
Awas daripada bertukar gambar.
Awas daripada hebahan umum sebelum di ijab kabul.
Ingatlah wahai anak-anak muda sekalian, sebarang perilaku 'ringan-ringan' dan dosa yag dikerjakan dalam hubungan sewaktu pertunangan boleh memberikan serba ringkas gambaran bagaimana tingkah laku pasangan selepas berkahwin. Jika semasa berpacaran dia suka meraba-raba, demikian jugalah dia apabila sudah berkahwin kelak (kecuali sesudah dia bertaubat sebenar-benar taubat). Malangnya bukan dengan isteri atau suaminya selaku pasangannya yang halal, tetapi dengan individu lain sebagaimana tergamak dia melakukannya dengan isteri dan suaminya sebelum mereka kahwin. Baca lanjut di sini.
Sekian, Wallahu'alam.
Ust Zaharuddin Abd Rahman www.zaharuddin.net
15 Disember 2006

::Hadiah hari ini::

Salam se-Nisa'.. Hadiah dari Nisa' Sdk untuk semua pengunjung., semoga sentiasa dirahmati Allah Ta'ala,. "sentiasalah tingkatkan diri dengan ilmu dunia dan akhirat supaya lebih dikasihi Allah dan mengasihi Allah., semoga hidup lebih diberkati dan diredhai.. " DAKWAH MELANGKAUI BATASAN BANGSA DAN AGAMA~ dari, Nisa' Sdk

Adab-adab Menziarahi Pesakit

Antara adab-adab ziarah pesakit (menurut kitab Fiqh Sunnah - Sayyid Sabiq) 1. mendo’akan si sakit agar lekas sembuh 2. memberi nasihat agar bersabar dan tabah 3. menyampaikan ucapan yg baik yg dapat menghiburkan hati si sakit dan menguatkan jiwanya. Cth ucapan: “Tidak apa-apa insyaAllah lekas sembuh.” 4. pendekkan waktu ziarah 5. menjarangkan waktu ziarah agar tidak menyulitkan si sakit (kecuali si sakit mengkehendaki sebaliknya) 6. Wanita boleh menziarahi lelaki. Dalil: Aisyah ra pernah menziarahi Bilal bin Rabah ra yg sakit demam panas 7. Boleh juga menziarahi orang bukan Islam. Dalil: alBukhari meriwayatkan dlam bab menjenguk orang musyrik wallahua'lam sumber:http://ustaznaim.blogspot.com/2009/06/adab-menziarahi-orang-sakit.html

::KEBERKATAN::

::KEBERKATAN YANG HILANG DARI UMAT KINI:: SUMBER:http://umaralfateh.wordpress.com/2008/08/30/keberkatan-yang-hilang-dari-kita-umat-islam/ “Keberkatan… Ramai yang selalu mengucapkan perkataan ini. tetapi sejauh mana kita memahami isu keberkatan ini dalam kehidupan kita? Bagi saya, erti keberkatan masa yang sedang kita bincang ini bermaksud sejauh mana waktu atau masa yang ada itu mempunyai nilai kelebihan dan kebaikan yang optimum sama ada kepada kita atau kepada orang di sekeliling kita.” Saya memulakan perbincangan dalam salah satu aktiviti dalam kumpulan di suatu porgram yang saya ikuti.

::BELAJAR DARI ORANG GILA::

Tazkirah dan Muhasabah untuk kita. ::BELAJAR DARI ORANG GILA:: semoga menjadi iktibar dan dikurniakan kelembutan hati melihat hamba-hamba Allah di muka bumi ini. ---- Pengalaman ini sungguh-sungguh membuatku jadi belajar. Meskipun dari seseorang yang dicemuh dan tak dihiraukan manusia lain sekalipun.