::KEBERKATAN::

::KEBERKATAN YANG HILANG DARI UMAT KINI:: SUMBER:http://umaralfateh.wordpress.com/2008/08/30/keberkatan-yang-hilang-dari-kita-umat-islam/ “Keberkatan… Ramai yang selalu mengucapkan perkataan ini. tetapi sejauh mana kita memahami isu keberkatan ini dalam kehidupan kita? Bagi saya, erti keberkatan masa yang sedang kita bincang ini bermaksud sejauh mana waktu atau masa yang ada itu mempunyai nilai kelebihan dan kebaikan yang optimum sama ada kepada kita atau kepada orang di sekeliling kita.” Saya memulakan perbincangan dalam salah satu aktiviti dalam kumpulan di suatu porgram yang saya ikuti. Isu kesempitan masa atau kesuntukan waktu yang banyak dialami oleh kebanyakan kita banyak berkait rapat dengan keberkatan waktu itu sendiri. Ketika ramai dari kalangan kita semakin hilang arah tuju kerana masa yang semakin suntuk, kerja yang semakin menimbun yang dirasakan tidak akan selesai, yang semakin lama semakin membuatkan kita kadang-kadang hilang arah tuju dalam kehidupan. Suatu ketika dahulu, masa seolah-olah terlalu lambat berlalu, tetapi kini, waktu adalah suatu hambatan hidup, terlalu cepat berlalu. Terleka sedikit bahana menanti. Sama ada kita yang peka atau masa akan meinggalkan kita. Mencari keberkatan waktu sama ertinya sejauh mana kita mengoptimumkan masa yang ada dalam mencari kebaikan yang ada padanya. Ketika 2 jam yang diperuntukkan untuk membaca, sejauh mana 2 jam itu terisi dengan pembacaan yang optimum? adakah membaca sedikit mengelamun banyak? akhirnya pembacaan terbengkalai disebabkan masa yang terbuang begitu sahaja. Masa yang ada perlulah diketahui sejauh mana otak dan badan kita boleh memberi tumpuan pada satu-satu kerja yang ingin dilaksanakan. Islam mengajar kita agar kerja yang dilakukan adalah dengan sepenuh kesungguhan.Kesungguhan dalam bekerja dan diiringi dengan niat dan matlamat untuk menghasilkan yang terbaik Itulah waktu dan kerja yang penuh keberkatan. Keberkatan Hidup “Dalam saya buat sesuatu tu,kadang2 timbul rasa kita nak berkongsi, bagaimana nak timbulkan perasaan untuk selalu memberi dan berkongsi?” soalan dari seorang peserta ketika dalam perbincangan dalam kumpulan di suatu program. ‘Satu soalan yang baik. Bagi saya, perasaan itu mestilah datang dari jiwa dan hati, yang mana dua-dua benda ni dia merasakan bahawa orang lain itu sama sepertinya, boleh merasakan sama tinggi dan sama rendah. Memandang orang lain dengan nilaian takwa, nilaian kemanusiaan, dan ini semua akan datang apabila kita boleh merasa nikmat dalam solat berjemaah. Ketika orang disebelah kita terdiri dari pelbagai latar belakang, tukang sapu sampah, tukang kebun, pekerja binaan, yang rata-rata banyak menghasilkan bau badan dan peluh-peluh, tetapi kita boleh untuk merasa nikmat dengan duduk berdiri bahu bertemu bahu, tumit bertemu tumit dengan orang-orang sebegini semata-mata kerana ingin keredaan Allah. Jika ini kita boleh buat, merasakan bahawa semua manusia adalah sama dihadapan Allah, dan kita boleh bersama-sama golongan ini dalam solat berjemaah, maka, disitulah permulaan kita untuk boleh istiqamah dalam memberi dan berkongsi.” Soal solat berjemaah adalah faktor terpenting bagi seorang dai’ (penyeru kebaikan pencegah kemungkaran). Solat berjemaah yang rata-rata dari kita tahu akan kelebihannya dari sisi ganjaran dari Allah, tetapi amat kurang dari kalangan kita yang mengambil kesungguhan dalam mengejar itu. Bahkan , hampir kosong masjid-masjid dari diimarahkan oleh golongan muslim sendiri, hanya dipenuhi ketika solat jumaat. Solat berjemaah merupakan satu perkara yang dilakukan dengan kesungguhan. Bermula dari niat dari tempat kerja, rumah, bilik kuliah untuk sama-sama imarahkan masjid. Mengambil wudu’ sebelum berangkat kemasjid, berjalan kaki atau bekenderaan ke masjid. Diniatkan iktikaf di dalam masjid,ketika azan selesai dikumandangkan, didirikan solat sunat 2 rakaat. Kemudian , berusaha memikirkan tentang nikmat dan rahmat Allah yang telah dirasai sementara menunggu iqamah didirikan. Ketika iqamah didirikan, bersegera meluruskan saf. Mengikuti imam dan mengikut disiplin kepada pemimpin. Perasaan patuh dan taat mengikut imam (pemimpin) mengiringi segala tindak tanduk dalam solat. Ketika solat masih dikerjakan, saf masih dititik beratkan. Perasaan tidak selesa dengan jiran (makmum disebelah) diketepikan, yang terasa hanyalah perasaan sama rata. Tiada perbezaan taraf darjat masing-masing dihadapan Allah. Semua faktor-faktor yang dilakukan ini dicampur dengan beberapa perkara lagi itu, yang menyebabkan solat berjemaah itu lebih afdal sebanyak 27 kali ganda dari solat bersendirian. Ianya mendidik kita merasa perasaan sama rata, menepati waktu, taat pada pemimpin, berdisiplin di dalam perbarisan (saf) dan perasaan rendah diri. Kepelbagain faktor inilah yang menjadi asas dalam mendidik jiwa kita dalam istiqamah untuk memberi dan berkongsi. Jika kita sudah boleh merasai nikmat dan rahmat di sebalik solat bejemaah ini, insyaallah , keinginan untuk memberi dan berkongsi itu kita boleh istiqamah (berterusan). Mengapa Semua ini Penting? Perasaan kebersamaan dan tiada beza taraf adalah faktor terpenting bagi seorang yang menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran. Ketika yang dibawa adalah Islam, maka nilai dan akhlak yang indah itu menjadi ukuran manusia yang kita dekati. Ketika kita membawa nama Islam dalam masa yang sama masih ditakuk memandang dingin pada orang lain, maka solat jemaah itu menjadi penawar bagi penyakit yang kita ada. Solat berjemaah merupakan ubat bagi mereka yang mahu memulakan langkah sebagai seorang dai’. Jika solat berjemaah masih tidak menjadi suatu keseronokan, usah dibicara soal isi bahan dakwah. Ini kerana di dalam solat berjemaah itu terkandung seribu satu kelebihan yang padanya memberi penawar dan ubat bagi jiwa-jiwa yang rindukan belaian dan sentuhan Tuhan. Solat berjemaah mengajar dan mendidik jiwa pada suatu disiplin yang kita sendiri akan memahami jika kita menghayati inti pati segala apa yang ada padanya. Lihatlah perbezaan mereka yang menjadikan solat berjemaah sebagai rutin kehidupan dan mereka yang menjadikan solat bersendirian sebagai rutin. Pasti ada perbezaan yang ketara diantara mereka. Jika solat berjemaah masih dalam keadaan saf yang tidak sempurna dan perasaan geli dan tidak mahu bahu membahu, menyamakan tumit, maka nikmat dan rahmat disebalik solat berjemaah itu pasti tidak terasa. Penghayatan pada dua ini antara faktor untuk kita memulakan langkah sebagai seorang dai’ Bicara Seorang Muslim Isu solat berjemaah ini merupakan isu terpenting umat Islam di kala ini. Ketika masjid-masjid sunyi dari manusia-manusia untuk tunduk dan sujud bersama pada Tuhan Pencipta Alam, umat Islam terus dihenyak dengan kehinaan. Kehebatan umat Islam yang suatu ketika dahulu digeruni oleh kawan dan lawan, kini semuanya hanya mainan ilusi. Langkah pertama dalam menjadikan umat Islam sebagai umat yang disebut sebaik-baik umat yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran serta beriman kepada Allah adalah melalui solat berjemaah. Di situlah terletaknya kunci kemuliaan umat Islam. Penjamin kepada kehebatan umat Islam adalah terletak pada solat subuh. Jika solat subuh kita pada hari ini boleh dipenuhi seperti penuhnya masjid-masjid ketika hari jumaat, pasti umat Islam tidak akan dihina sebegini rupa di atas muka bumi ini lagi , dan pasti PALESTINE akan jatuh semula di tangan umat Islam. Ketika ini kita sibuk bercakap tentang bagaimana mentadbir negara, mengurus dan mengisi kemerdekaan. Kita kurang perihatin pada membangunkan jiwa manusia yang mengurus dan mentadbir ini. Solat jemaah masih lagi tidak menjadi keutamaan. Ingatlah, umat Islam terdahulu jiwa mereka subur dengan kesatuan. Solat jemaah itu mencerminkan KESATUAN JIWA, KEJERNIHAN HATI. Perasaan rindu dan kasih sayang tersemai hasil dari solat berjemaah. Inilah yang menyebabkan masyarakat kita buta perasaan. Kasih sayang sudah hilang, anak dibuang , dibunuh, budak-budak kecil diperlakukan teruk dari binatang. Pembunuhan , tuduh menuduh, memfitnah ,dan lain-lain isu masyarakat semuanya hasil dari hilangnya nilai kasih sayang dari jiwa umat Islam kita pada hari ini. Hilangnya perasaan ini adalah hasil dari hilangnya nilai berjemaah, hilangnya nilai kesamaan dari kosongnya masjid-masjid dari solat berjemaah. Marilah sama-sama kita pupuk kembali nilai kasih sayang dalam jiwa kita dengan memulakan langkah hidup dalam jemaah, solat berjemaah. Moga-moga , dengan permulaan ini akan memulakan langkah kita ke arah suatu tamadun ummah yang kembali memartabatkan nilai kemanusiaan, nilai umat Islam yang sudah lama kita impikan memimpin dunia ini. Mengapa Solat Subuh? Ketika Nabi memberitakan bahawa pembeza antara munafiq dan mukmin adalah dari solat isya’ dan subuh. Golongan munafiq (pura-pura dalam agama) sangat susah untuk menghadirkan diri ke masjid pada dua waktu ini, menyangkakan bahawa tiada orang yang tahu jika mereka tidak hadir ke masjid. Manakala golongan mukmin akan sentiasa menghadirkan diri ke masjid dalam keadaan susah atau senang. Solat subuh merupakan solat di awal pagi, ketika sinar fajar mula menerangi bumi. Waktu ini merupakan waktu paling seronok untuk tidur dalam masa yang sama juga waktu paling seronok untuk bermunajat pada Tuhan. Jika seseorang ingin solat subuh berjemaah, maka dia akan bersiap-siap untuk ke masjid sekurang-kurangnya 20 minit awal dari waktu azan dikumandangkan. Ini bermakna mereka akan mempunyai masa untuk solat sunat 2 rakaat, yang boleh dikatakan sebagai qiamullail. Qiamullail inilah yang menjadi penguat jiwa orang-orang mukmin. Bayangkan , jika satu masjid yang hanya dihadiri dan dipenuhi 2-3 saf sahaja, tetapi dari jumlah itu, hampir 3/4 bangun awal dan berjaya solat malam. Maka jika satu masjid penuh solat subuh, maka ramailah yang berjaya solat malam. Kejayaan solat malam dan subuh inilah penggerak kepada kekuatan jiwa umat Islam. Jika ini berlaku, perkataan jihad dengan mudahnya boleh dikumandangkan dikalangan umat Islam. Ketika umat Islam masih lagi berperang (bertungkus lumus) untuk membezakan diri antara munafiq dan mukmin, maka perkataan jihad masih lagi jauh untuk diberitakan pada umat ini. Jika persoalan solat subuh berjemaah ini sudah dibereskan , hadirnya manusia bak solat jumaat, maka barulah isu jihad baru boleh diketengahkan. Inilah peranan yang perlu diambil oleh golongan wanita zaman ini, ketika golongan lelaki sudah hampir hilang taring dari memikul tanggungjawab, wanita memainkan peranan dalam menaikkan kembali kesedaran suami dan anak-anak lelaki. Isteri , manusia paling hampir bagi seorang lelaki, adalah yang paling mudah mempengaruhi jiwa lelaki. Jika kerana wanita, lelaki boleh jatuh, maka dengan wanita jugalah seorang lelaki boleh berdiri teguh. Jika seorang isteri boleh mempengaruhi seorang suami agar istiqamah ke masjid, suami pula membawa anak-anak kecil ke masjid bersama agar anak-anak terbiasa dengan suasana di masjid, maka pasti generasi akan datang yang kemungkinan bangkit 10-20 tahun ini akan membawa panji-panji Islam, dan kehinaan yang menimpa umat Islam ketika ini tidak lagi kedengaran ketika itu, dan pasti tanah umat Islam PALESTINE akan jatuh semula ke tangan kita jika usaha-usaha menggerakkan manusia ke masjid dijalankan dengan bersepadu. Wallahua'lam 14 Zulhijjah 1431 H 21 November 2010 semoga sentiasa diberi kekuatan iman dan amal.. selamat mencari redha -Nya. kami sentiasa mendoakan sahabat-sahabat.insyaAllah