Keajaiban Anak Muda

Assalamualaikum wbt dan salam nisa kepada semua.

Alhamdulillah, hari ni kita masih diberi kesempatan untuk menikmati nikmat iman dan Islam. Syukur padanya masih mampu bernafas dan bersama-sama dengan keluarga dan sahabat tercinta

PENDAHULUAN
Hari ni nak berkongsi sikit pasal anak muda. Anak muda ni konteksnya luas. Namun, yang ingin ditegaskan disini adalah peranan anak muda dalam membantu perjuangan Islam.

Sejak zaman Rasulullah SAW lagi kewibawaan anak muda sama ada muslimin atau muslimat, tidak boleh dipertikaikan lagi. Kenapa hal ini terjadi?

ASET TERPENTING
Lelaki dan perempuan tidak ada bezanya di sisi Allah SWT. Seorang ulama tersohor di negara ini, pernah menyatakan bahawa tidak akan ada keistimewaan yang Allah berikan untuk lelaki mendahului wanita ketika melalui siratulmustaqim di akhirat kelak. Maknanya, yang membezakan kita semua adalah ketaqwaan.

Cuba sebutkan beberapa tokoh anak muda yang sahabat ketahui? Sultan Muhd Al Fateh, Saad Abi Waqas, Fatimah Az Zahra, Saidatina Aisyah, Solahuddin Al Ayubbi, Saidina Ali bin Abi Talib dan ramai lagi. Sangat mengujakan bila martabat anak muda diangkat dalam perjuangan Islam sehingga ke hari ini.

Ketajaman akal fikiran, tenaga yang kuat, responsif, cepat dan 'fresh' dengan idea baru adalah antara ciri-ciri anak muda yang menjadi aset terpenting. Penglibatan anak muda dalam pelaksanaan dakwah tidak hanya terjadi ketika zaman Rasulullah, bahkan ia tetap berterusan sehingga sekarang.

Penaklukan Contantinople oleh Sultan Muhd Al Fateh adalah satu bukti yang kukuh bahawa penglibatan anak muda amat penting dan tidak dipandang enteng. Berfikiran kreatif dan memiliki ilmu yang tinggi sehingga boleh bertutur dalam 6 bahasa utama, ia merupakan kelebihan yang dimiliki oleh sultan muda ini. Hasilnya, ketika mencecah umur awal 20-an, Al Fateh telah berjaya menawan kota Constantinople yang telah lama diidamkan ditakluki oleh umat Islam.

Asma Abu Bakar misalnya, adalah susuk tubuh yang sangat membantu dalam perjalanan hijrah Rasulullah SAW. Begitu juga dengan keberanian dan kekentalan jiwa Ali Bin Abi Talib yang sanggup untuk menyamar menjadi Rasulullah, menggantikan baginda di pembaringan untuk mengelirukan golongan kafir Quraisy dan untuk memudahkan pergerakan Rasulullah. Bayangkan betapa hebatnya golongan muda ketika ini. Formula mudah yang digunakan Rasulullah untuk menghasilkan output seperti ini adalah dengan didikan corakan Al Quran nur Kareem.

Keberanian golongan anak muda dalam penglibatan mengikuti peperangan yang turut disertai oleh Rasulullah juga wajar dicontohi. Semangat yang berkobar-kobar untuk mencapai syahid menyala di dalam jiwa sanubari mereka. Saad abi Waqas, Zaid bin Harithah dan pejuang lain merupakan tokoh-tokoh utama yang membantu kejayaan Islam zaman dulu.

PEMUDA MASA KINI
Namun fenomena yang amat menyedihkan apabila anak muda pada masa ini tidak lagi mempedulikan kehebatan sejarah ini, sebaliknya sibuk melayani nafsu yang berpaksikan kepada arus barat. Hedonisme, merupakan gejala yang sangat mempengaruhi remaja masa kini. Semuanya mahu menjadi bintang, mahu menjadi popular dan mengejar populariti. Inikah yang sepatutnya terjadi pada seorang remaja Islam? Tidak kena gaya, silap-silap agama pula tergadai bila budaya kuning seperti gothik, black metal dan sebagainya mula menghantui segelintir remaja kini. Amat memalukan bila anak-anak gadis turut dirosakkan oleh dakyah-dakyah seperti ini. Laman sosial yang seakan-akan tidak ada penamatnya pula menjadi kemuncak kepada permasalahan sosial yang berlaku. Pendedahan aurat di internet bukan lagi menjadi masalah besar kerana semua orang sudah 'menghalalkan' perkara tersebut di ruang maya tanpa sempadan itu

KESIMPULAN
Sedarlah wahai anak muda, kita semua adalah aset kepada agama yang kita cintai. Jika kita tidak mampu menjadi sehebat golongan muda zaman Rasulullah, cukuplah sekadar menjadi duta kepada agama Islam yang kita cintai ini. Jangan sekali-kali mudah terpedaya dengan segala isi dunia ini kerana Allah mengingatkan dalam Quran bahawa isi dunia ini hanya perhiasan sahaja. Mantapkan iman, jadilah seorang mukminah yang mengikut acuan Islam

Akhir kalam, moga peringatan ini ada manfaatnya untuk semua. Insya Allah